BERITA UTAMAPELANCONGANSELANGOR

Bukit Malawati Xploride 2018 promosi Kuala Selangor destinasi pelancongan dunia

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 6 OKT: Bukit Malawati Xploride 2018 dijangka mampu memberi impak besar dalam mempromosikan Kuala Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan antarabangsa yang menarik di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal ini berikutan acara kayuhan disertai 1,000 peserta ini turut membabitkan beberapa laluan tarikan pelancong bertaraf antarabangsa.

“Pada asasnya kawasan ini terkenal dalam kalangan pelancong antarabangsa dan statistik menunjukkan ada peningkatan sangat baik kedatangan pelancong China dan Jepun di beberapa aset menarik terutama Sky Mirror dan kelip-kelip di Kampung Kuantan.

“Aset ini boleh dikatakan bertaraf dunia kerana hanya beberapa tempat sahaja di dunia yang ada keistimewaan seumpamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di tapak pelepasan peserta di kaki Bukit Malawati, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kuala Selangor turut menjadi tumpuan peminat dan pengkaji mergastua apabila terdapat kawasan persinggahan burung migrasi pada setiap tahun.

Sebelum itu, Amirudin dan Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli sama-sama melepaskan kira-kira 1,000 peserta kayuhan anjuran Pejabat Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati itu.

Selain peserta tempatan, acara itu juga berjaya menarik penyertaan peserta luar Selangor dan luar negara seperti Jepun dan China.

Kayuhan membabitkan dua kategori 20 dan 50 kilometer itu turut disertai Amirudin dan Juwariya.


Pengarang :