SELANGOR

Bunuh kucing: Juruteknik elektrik dibebas tanpa dilepaskan daripada tuduhan

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Seorang daripada tertuduh dalam kes video yang tular berhubung perbuatan kejam membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan penderitaan terhadap haiwan itu.

Hakim Rasyihah Ghazali membuat keputusan itu terhadap juruteknik elektrik S.S. Satthiya, 26, selepas Timbalan Pendakwa Raya , Nurul Ain Shafie memaklumkan pihaknya mendapat arahan daripada pengarah pendakwaan veterinar Selangor untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh.

“Kami mendapat arahan daripada pengarah pendakwaan veterinar Selangor untuk melepas tanpa membebaskan Satthiya daripada pertuduhan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

“Namun, kes terhadap seorang lagi tertuduh, pemandu teksi A. Mohanraj ,41, tetap diteruskan dan semua dokumen telah disediakan untuk diserahkan kepada tertuduh,” katanya semasa sebutan kes itu.

Mahkamah kemudiannya melepaskan tanpa membebaskan Satthiya yang tidak diwakili peguam itu daripada pertuduhan tersebut.

Pendakwaan turut dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor Mohd Roslan Isa.

Kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas telah dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves di sini antara 12.54 tengah malam dan 1 pagi, pada 11 Sept lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 20 Sept lepas, Satthiya dan Mohanraj mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam dua individu yang membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin pengering berkenaan.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut kemudian tersebar di media sosial dan menerima kecaman masyarakat sebelum Persatuan Haiwan Malaysia bertindak membuat laporan polis dan kedua-dua individu itu ditahan pada Jumaat lalu.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :