EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, dengan belian terhadap saham wajaran tinggi berikutan prestasi semalaman yang baik Wall Street.

Pada 9.04 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.25 mata pada 1,693.19 daripada penutup semalam sebanyak 1,683.73.

Indeks dibuka meningkat 5.45 mata pada 1,691.39.

Menurut Public Bank Investment Bank Bhd, pasaran Amerika Syarikat mengakhiri sesi semalaman yang tinggi, berbeza dengan pembukaan Isnin yang agak bergoyang.

“Dow Jones Industrial Average meningkat 431.7 mata (+1.8 peratus) semalam, didorong oleh keuntungan di Goldman Sachs, McDonalds dan Boeing yang meyebabkan indeks secara keseluruhan lebih baik.

“Saham komunikasi, bahan dan tenaga menyebabkan S&P 500 meningkat 1.6 peratus sementara Nasdaq Composite juga meningkat 1.6 peratus,” kata firma berkenaan dalam nota penyelidikannya.

Di Bursa Malaysia, untung mengatasi rugi 179 kepada 33 dengan 104 kaunter tidak berubah, 1,580 tidak didagangkan dan 87 lagi digantung.

Jumlah dagangan adalah 96.26 juta unit bernilai RM41.8 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat tujuh sen kepada RM9.41, Public Bank meningkat 10 sen kepada RM24.64, Tenaga meningkat 16 sen kepada RM14.46, sementara Hong Leong Bank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM20.66 dan RM4.99.

Bagi kaunter aktif, Seacera dan Orion IXL menokok satu sen masing-masing kepada 22 sen dan 11.5 sen, manakala Sapura Energy meningkat setengah sen kepada 32.5 sen, Prestariang menambah dua sen kepada 51.5 sen sementara Hibiscus Petroleum susut satu sen kepada RM1.01 sen.

Indeks FBM Emas Shariah meningkat 50.77 mata kepada 11,603.5, Indeks FBM Ace meningkat 64.09 mata kepada 4,776.42 manakala FBM 70 meningkat 69.21 mata kepada 13,232.15.

Indeks FBM Emas meningkat 52.36 mata pada 11,626.99 sementara Indeks FBMT 100 menambah 51.69 mata kepada 11,488.77.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 4.21 mata kepada 7,296.01, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 58.24 mata pada 17,099.33, sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.39 mata pada 168.81.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :