SELANGOR

Cantuman jajaran Bas Smart Selangor beri kelebihan untuk rakyat

OLEH AFIX REDZUAN

GOMBAK, 24 OKT: Jajaran Bas Samart Selangor diharapkan dapat menghubungkan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) dibawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ke Kuala Lumpur.

Pegawai Daerah dan Tanah (PDT) Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata, cantuman jajaran bas Smart Selangor ini penting supaya pengguna dapat menikmatinya secara berterusan.

“Bas percuma Smart Selangor paling penting dan perlu ada kesinambungan. Kawasan Selayang dan Ampang Jaya tidak bercantum disebabkan Kuala Lumpur.

“Bas MPAJ sampai Melawati tetapi tidak disambung kepada Klang Gates. Saya telah memohon MPAJ memanjangkan perkhidmatan bas Smart Selangor ke Klang Gates dan seterusnya ke LRT Melati kerana ia merupakan lokasi terakhir bas MPS.

“Di daerah Gombak, orang yang tinggal di Hulu Klang boleh menikmati bas percuma ini jika ingin ke Rawang. Sekarang, kalau orang Hulu Klang nak ke Rawang, tiada bas yang menghubungkan,” katanya.

Menurutnya, cadangan itu sudah diketengahkan supaya perkhiamatan Bas Smart Selangor dapat diperluaskan serta menggabungkan dua daerah selain berharap isu sempadan Kuala Lumpur-Selangor dapat diselesaikan segera.

Katanya, perkhidmatan bas percuma dibawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) itu memberikan reaksi positif kepada rakyat dan diharapkan kesepakatan pentadbiran di Putrajaya- Selangor boleh mempercepatkan urusan itu.


Pengarang :