Selangorkini
GLOBAL

China lancar jambatan terpanjang dunia hubung Hong Kong, Macau

ZHUHAI 23 OKT: Jambatan laut terpanjang di dunia yang menghubungkan Hong Kong, Macau dan tanah besar China akan dilancarkan hari ini ketika Beijing berusaha untuk mengetatkan cengkamannya ke atas wilayah semi-autonomi China itu.

Presidennya, Xi Jinping dijangka merasmikan upacara bersejarah itu di bandar utama Zhuhai, pagi ini, tetapi maklumat terperinci mengenai majlis itu masih dirahsiakan.

Jambatan sepanjang 55 kilometer dilengkapi jambatan jalan raya dan terowong bawah laut yang menghubungkan pulau Lantau ke Zhuhai dan kawasan perjudian Macau, merentasi perairan Pearl River Estuary.

Difahamkan ia adalah projek infrastruktur utama kedua terbesar yang menghubungkan Hong Kong ke tanah besar China yang bakal beroperasi, selepas pembukaan rangkaian kereta api berkelajuan tinggi hujung bulan lalu.

Pengkritik berkata jambatan bernilai berbilion bilion dolar itu adalah satu cara untuk mengintegrasikan Hong Kong kepada China.

Jambatan mega itu akan dibuka kepada kenderaan awam esok, sehari selepas majlis perasmiannya.

Pembinaan yang bermula pada 2009 itu berdepan beberapa masalah seperti kelewatan, perbelanjaan berlebihan, tuduhan rasuah dan kematian pekerja pembinaan.

SUMBER: AFP


Pengarang :