SUKANKINI

Cub Prix: Kasma perlu menang untuk sekat Afif

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 OKT: Kasma Daniel Kasmayuddin perlu muncul juara jika mahu menyekat Ahmad Afif Amran daripada bergelar juara keseluruhan CP150, pada perlumbaan pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018, di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, pada 27 dan 28 Oktober ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu kini ketinggalan 49 mata di belakang Afif yang mendahului kedudukan keseluruhan (160 mata) dengan hanya 75 mata maksimum menanti pelumba, pada baki tiga pusingan perlumbaan sahaja lagi.

Rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman pada kedudukan ketiga (103 mata), manakala Md Akid Aziz, keempat tidak mampu lagi memberi cabaran untuk mengejar kedudukan pendahulu setelah mengumpul 73 mata ketika ini.

Seandainya Kasma menamatkan saingan di belakang Afif, ini bermakna dia terpaksa menyerahkan gelaran keseluruhan CP150 miliknya, pada musim lalu kepada pelumba PETRONAS SPrinta Yamaha – CKJ Racing itu.

Kasma berkata, misi pentingnya pada minggu ini hanya perlu memenangi perlumbaan berkenaan.

“Hanya dengan memenangi perlumbaan sahaja saya mampu menyekat Afif daripada mengesahkan gelaran lebih awal, jika tidak saya terpaksa menyerahkan gelaran kepadanya.

“Namun, misi ini bukan mudah kerana Afif begitu konsisten pada musim ini dan saya perlu merancang strategi terbaik untuk mengalahkannya sama ada mengekori di belakang dan mencari ruang untuk memintas di penghujung saingan ataupun cuba menjarakkan diri dari awal saingan lagi,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bantuan rakan sepasukan juga sangan penting dengan mereka perlu menyekat Afif seandainya beliau berada di depan.

“Selain psikologi dan strategi, mental saya juga perlu kuat untuk kekal bertenang sepanjang perlumbaan di Batu Kawan ini,” katanya.


Pengarang :