SUKANKINI

Cub Prix: Syafiq kekal positif ke Batu Kawan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 OKT: Dua podium berturut-turut dalam saingan kelas CP115 menjadi bekalan positif buat Md Syafiq Rosli menghadapi pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang, pada 27 dan 28 Oktober ini.

Pelumba Elf Koyoko Honda KC Racing itu muncul pemenang tempat ketiga sewaktu pusingan keenam di Perlis seterusnya di Terengganu menyaksikannya muncul pelumba tunggal memacu jentera Honda ke pentas podium.

Syafiq berkata, pada awal musim prestasinya tidak begitu konsisten apabila sekadar menamatkan saingan di kelompok pertengahan.

“Namun keadaan semakin baik pada penghujung musim ini dan saya berharap dapat mengekalkan momentum serupa di Batu Kawan nanti,” katanya.

Selepas tujuh perlumbaan, Syafiq kini menghuni tangga ketujuh keseluruhan dengan 59 mata, namun tidak mampu mencabar takhta keseluruhan kini dipegang Tengku Amirul Haffirudin (163 mata) ketika perlumbaan hanya berbaki tiga pusingan sahaja lagi.

“Peluang untuk mengejar gelaran pendahulu memang sudah tertutup tapi saya berharap dapat menyekat Tengku Amirul daripada terus memenangi perlumbaan atau setidak-tidaknya memperbaiki kedudukan dan dapat berada di atas podium lagi.

“Mudah-mudahan pasukan sekali lagi dapat membekalkan jentera terbaik kerana bukan mudah untuk saya menyekat penguasaan barisan pelumba Yamaha yang menguasai perlumbaan musim ini,” katanya.


Pengarang :