EKONOMI

Dagangan di Bursa Malaysia dijangka tidak menentu

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Dagangan di Bursa Malaysia dijangkakan tidak menentu pada minggu depan, berikutan perkembangan luaran yang tidak begitu menggalakkan.

Ketua Penyelidikan, Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata bagi tahun ini, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras terendah pada 28 Jun apabila berada pada 1,657.78 dan terdapat risiko sekiranya ia hampir kepada paras tersebut.

“Sentimen bagi pasaran tempatan sebahagian besarnya dipengaruhi prestasi Wall Street selain mempertimbangkan kebimbangan peserta pasaran terhadap keuntungan korporat Amerika Syarikat (AS) serta unjuran bagi ekonomi terbesar dunia itu, kami yakin FBM KLCI akan tidak menentu pada minggu depan.

“Kami percaya FBM KLCI akan diniagakan rendah, namun kemungkinan penurunan itu tidak ketara,” katanya kepada Bernama.

Dari segi teknikal, PublicInvest Research berkata FBM KLCI dijangkakan mengalami tidak banyak perubahan antara 1,664 dan 1,700, dengan paras sokongan pada 1,622, 1,664 dan 1,680 manakala paras rintangan pada 1,700, 1,719 dan 1,735.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia mencatatkan dagangan kebanyakannya rendah, seiring dengan pasaran Asia yang merekodkan prestasi lemah memandangkan pelabur menjejaki penurunan di Wall Street selepas penjualan ketara dalam syarikat teknologi AS.

Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, penanda aras FBM KLCI ditutup 49.08 mata lebih rendah kepada 1,683.06.

Indeks FBM Emas merosot 379.41 mata kepada 11,591.11, Indeks FBMT100 susut 352.77 mata kepada 11,447.22 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 379.41 mata kepada 11,591.11.

FBM 70 susut 483.41 mata kepada 13,290.74 dan FBM Ace turun 324.91 mata kepada 4,775.05.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 420.59 mata kepada 17,144.87, Indeks Perladangan kurang 102.63 mata kepada 7,324.34 dan Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri turun 4.77 mata kepada 168.34.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 7.96 bilion unit bernilai RM8.02 bilion daripada 10.15 bilion unit bernilai RM10.68 bilion pada minggu lepas.

Pasaran Utama mencatatkan jumlah dagangan 5.54 bilion saham bernilai RM7.52 bilion berbanding 6.71 bilion saham bernilai RM10.03 bilion.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 1.27 bilion unit bernilai RM262.7 juta daripada 1.90 bilion unit bernilai RM357.70 juta pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 1.14 bilion saham bernilai RM241.96 juta daripada 1.57 bilion saham bernilai RM289.37 juta.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :