Selangorkini
Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) mendapat peruntukan RM1 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020) untuk membantu pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah menjalani latihan kemahiran hingga ke peringkat diploma di institusi swasta.
NASIONAL

Desakan pertimbang semula gaji minimum dibawa ke Kabinet

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Desakan kajian semula gaji minimum RM1,050 yang diputuskan Kerajaan Persekutuan sebelum ini akan dibawa ke mesyuarat Kabinet akan datang untuk dibincangkan semula.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, pihaknya mendengar dan akan meneliti memorandum dihantar Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) serta beberapa NGO hari ini untuk tindakan susulan.

“Ia akan dibawa semula ke Kabinet untuk mencari tindakan susulan. Pandangan mereka akan kita pertimbangkan.

“Saya setuju ada beberapa faktor menyebabkan penetapan nilai sedemikian (RM1,050) iaitu kegawatan ekonomi negara dan terlampau banyak hutang.

“Apabila kita ambil alih Kerajaan pada 9 Mei lau, tidak sangka jumlah hutang berkenaan. Untuk sementara waktu kita putuskan RM1,050,” katanya.

Beliau berkara demikian kepada media selepas mempengerusikan pertemuan hampir satu jam di Bangunan Sementara Parlimen.

Sebelum itu, lebih 100 terdiri daripada kumpulan pekerja berarak dari Padang Merbok ke Parlimen bagi membantah gaji minimum RM1,050.

Demonstrasi aman itu digerakkan MTUC bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan sokongan beberapa NGO lain.


Pengarang :