SELANGOR

Didik anak bukan tanggungjawab sekolah

OLEH NADIAH ZAMLUS

BESTARI JAYA, 11 OKT: Tanggungjawab mendidik anak sepatutnya dipikul ibu bapa, bukannya sekolah semata-mata.

Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil berkata, beliau mendapati segelintir ibu-bapa seolah-olah lepas tangan apabila anak mereka sudah dimasukkan ke sekolah.

“Hakikatnya sekolah itu sekadar membantu, Nabi sendiri ada menyebut anak itu lahir dalam fitrah, lalu ibu-bapanya yang membentukkan anak itu menjadi Yahudi atau Nasrani.

“Perlu diingatkan sekolah bukan hak eksklusif guru-guru, dan disebabkan itulah sekolah perlu membuka ruang kepada ibu-bapa untuk turut serta memainkan peranan dan terlibat dalam pembangunan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucaptama ‘Institusi Keluarga dan Pendidikan’ di Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 anjuran Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya, hari ini.

Siddiq yang juga Tokoh Maal Hijrah 2018 menyeru supaya institusi kekeluargaan diperkukuhkan melalui bidang pendidikan.

“Sesuai dengan maqasid syariah (objektif syariah) iaitu perlunya umat Islam memelihara keturunan melalui pendidikan supaya melahirkan generasi berkualiti.

“Namun, pendidikan diberikan ini perlulah seiring dengan kasih sayang, bukannya kosong semata-mata,” katanya.


Pengarang :