SELANGOR

Dr Anuar Masduki dilantik semula Pro Canselor UNISEL

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BESTARI JAYA, 3 OKT: Dato’ Setia Dr Anuar Masduki hari ini menerima watikah pelantikan sebagai Pro Canselor Universiti Selangor (UNISEL) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Ogos 2018 hingga 31 Julai 2021.

Pelantikan itu merupakan penggal keempat berturut-turut selepas kali pertama menerima watikah pelantikan jawatan berkenaan, pada 2009.

Majlis serah tugas Dr Anuar itu mendapat persetujuan Canselor UNISEL, Raja Tan Sri Dato’ Sri Arshad Al-Haj Raja Tun Uda Al-Haj sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Dewan Senat, UNISEL Kampus Bestari Jaya, di sini.

Turut hadir, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman termasuk Ahli Lembaga Pengarah Pendidikan Industri YS Sdn Bhd serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif juga Pengurus Kanan UNISEL.

Dr Anuar, 73, merupakan Pakar Kardiologi di Pusat Perubatan Sime Darby (SDMC) Subang Jaya dan pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat SDMC dari tahun 1999 hingga 2001.

Sebelum itu, beliau pernah dilantik sebagai Naib Pengerusi Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti Malaya, Kuala Lumpur dari 1987 hingga 1996.

Beliau yang memiliki dua cahaya mata itu turut menjadi keanggotaan dalam beberapa badan profesional negara iaitu Akademi Perubatan Malaysia (2003) dan Persatuan Jantung Negara (2007).

Di samping itu, Dr Anuar menjadi pakar kardiologi persendirian Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, sejak 2001.

Minat mendalam dalam bidang perubatan mendorong Dr. Anuar meneruskan pengajian di Universiti Malaya pada 1971 dan kemudiannya menyertai ‘Membership Royal College of Physicians’ (MRCP) di United Kingdom, pada 1975.

Dalam arena pendidikan, beliau pernah berkhidmat sebagai Pembantu Pensyarah dalam bidang perubatan dan kardiologi di Jabatan Perubatan, Universiti Hospital Kuala Lumpur.

Pembabitan aktif dalam bidang berkenaan membolehkan beliau menerima anugerah Darjah Kebesaran Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, pada 2007.


Pengarang :