NASIONAL

Dr Wan Azizah, KSN ucap takziah pemergian Agamawan Negara

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Tan Sri Hassan Azhari yang meninggal dunia akibat kanser limfoma petang semalam.

Dr Wan Azizah berkata dunia Islam kehilangan seorang tokoh besar yang banyak berjasa terutama dalam bidang al-Quran.

“Takziah buat keluarga Tan Sri Hassan Azhari. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman. Dunia Islam kehilangan seorang tokoh besar yang banyak berjasa terutama dalam bidang al-Quran. Salam takziah @TSMusaHassan,” kata Dr Wan Azizah dalam tweetnya.

Turut menzahirkan ucapan takziah, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Ismail Bakar yang senada menyifatkan dunia Islam kehilangan seorang tokoh terbilang.

“Innalillahi wainnailaihi rajiuun. Salam takziah buat keluarga TS Hassan Azhari. Dunia Islam kehilangan seorang tokoh terbilang. Semoga Arwah ditempatkan di kalangan orang beriman & soleh,” katanya menerusi Twitter.

Hassan, 90, meninggal dunia akibat kanser limfoma kira-kira 5 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur.

Hassan adalah seorang tokoh yang terkenal dalam bidang tilawah al-Quran di negara ini, dan sering menganggotai panel hakim musabaqah al-Quran peringkat antarabangsa.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam di Persiaran Kayangan, Seksyen 5, Shah Alam, Selangor, atas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :