NASIONAL

Dua dasar baru luas tenaga solar

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar bakal melaksanakan dua dasar baru bagi menggalakkan penggunaan tenaga solar lebih meluas, di negara ini.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, dasar pertama ialah memperbaiki dan memperluaskan program ‘Supply Agreement for Renewable Energy’ (SARE).

Katanya, melalui program itu, pengguna tidak perlu membuat bayaran untuk pemasangan panel solar fotovoltan (PV).

“Ia bergantung kepada keluasan bumbung atau kawasan pemasangan, saya yakin akan ada pengguna elektrik yang bakal menikmati penurunan bil elektrik selepas pemasangan solar PV panel ini.

“Sementara dasar kedua ialah menjalankan pembaikian Program Pelaksanaan Permeteran Tenaga Bersih atau Net Energy Metering (NEM) dengan pengguna elektrik yang memasang panel solar di bumbung untuk kegunaan sendiri mendapat rebat daripada TNB bagi tenaga elektrik yang dijana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pada sesi menjawab soalan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, polisi baru itu akan menjadikan NEM lebih ‘fisibel’ daripada segi ringgit dan sen untuk pengguna elektrik.

“Dengan dua dasar baru ini juga, kerajaan berharap dapat memangkin perkembangan solar elektrik di Malaysia yang bukan sahaja mencapai agenda hijau tetapi juga menjimatkan bil elektrik untuk rakyat Malaysia,” katanya.


Pengarang :