NASIONAL

Dua tren KTMB berlanggar di Stesen Tanjung Malim

TANJUNG MALIM, 18 OKT: Sebuah tren komuter dan tren kargo berlanggar di Platform 2, Stesen Tanjung Malim, pada jam 6.02 pagi tadi, maklum KTM Berhad.

Katanya, tren kargo dengan muatan 30 gerabak, dalam perjalanan dari Stesen Jalan Kastam ke Ipoh Cargo Terminal (ICT) Ipoh, manakala tren komuter memulakan perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang, dijadualkan berlepas pada jam 6.05 pagi.

Katanya, seramai 20 penumpang di dalam tren komuter semasa insiden berlaku, namun hanya lima penumpang mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Kecil Tanjung Malim.

“15 penumpang yang terselamat dipindahkan ke tren komuter lain untuk meneruskan perjalanan ke Stesen KL Sentral,” katanya.

Rentetan perlanggaran itu, perkhidmatan Tren Elektrik bagi Sektor Utara akan mengalami kelewatan perjalanan antara 10 hingga 15 minit.

“Perkhidmatan tren komuter pula mengalami gangguan perjalanan bagi laluan Tanjung Malim-Kepong dengan jangkaan kelewatan antara 20 hingga 30 minit,” katanya dalam kenyataan.

Kelewatan perkhidmatan tren itu berlaku kerana penggunaan satu landasan sahaja di antara Tanjung Malim dan Kuala Kubu Baru.

Sementara laluan KL Sentral-Pelabuhan Klang dan Batu Caves-Pulau Sebang, perkhidmatan KTM Komuter tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

“KTM Berhad memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. Kerja baik pulih sedang giat dijalankan,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau layari Twitter @ktm_berhad.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :