PENDIDIKANSELANGOR

Duta Jepun dipilih penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik UNISEL

OLEH AFIX REDZUAN

BESTARI JAYA, 27 OKT: Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa dipilih sebagai Penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik Universiri Selangor (UNISEL) bagi tahun 2018 bersempena Istiadat Konvokesyen Ke-13 bertempat di Dewan Canselor, UNISEL Kampus Bestari Jaya.

Anugerah itu disampaikan Canselor UNISEL, Yang Amat DiMuliakan (YAD) Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sambil disaksikan Pro-Canselor UNISEL, YAD Dato’ Setia Dr Anuar Masduki dan YAD Tan Sri Ismail Adam, Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Amirudin dalam ucapannya sebelum itu turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Makio Miyagawa selain mengharapkan lebih banyak kerjasama Selangor-Jepun selepas ini.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dr Makio Miyagawa atas kecemerlangan beliau selama ini.

“Kita mengharapkan lebih banyak kerjasama antara Selangor dan Jepun selepas ini,” katanya.

Makio Miyagawa, 67, Duta Besar Jepun ke Malaysia sejak tahun 2014 merupakan graduan Kejuruteraan Aeronautik dari The University of Tokyo, Japan dan kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dari University of Oxford, United Kingdom.

Beliau pernah melibatkan diri dalam penghasilan bahan ilmiah berbentuk buku, antaranya adalah ‘Do Economic Sactions Work?’ dan ‘Keizai Saisai’.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah Timbalan Pengarah Bahagian Amerika Syarikat dan Rusia, Timbalan Pengarah Bahagian Rusia, Pengarah Bahagian APEC dan Pembangunan Ekonomi serta Pengarah Bahagian Dasar Serantau.

Pada tahun 2007, beliau telah diangkat sebagai duta yang mewakili Jepun di Geneva. Kini, beliau memegang portfolio sebagai Duta Besar Extraordinary dan Plenipotentiary Jepun ke Malaysia.

Makio Miyagawa dalam sidang media merakamkan penghargaan kepada UNISEL atas anugerah diterima dan menyifatkan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang baik.

Menurutnya, ini merupakan anugerah pertama diterimanya di peringkat universiti di Malaysia dan berharap jalinan kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan dapat diteruskan.

“(Perdana Menteri) Tun Mahathir sebelum ini meminta Perdana Menteri Jepun (Shinzo Abe) untuk menubuhkan sebuah cawangan Universiti Jepun di Malaysia.

“Kita memandang serius perkara ini memandangkan belum ada cawangan (Universiti Jepun) di Malaysia dan jika direalisasikan ia merupakan sejarah baru,” katanya.

 


Pengarang :