SELANGOR

DYMM Sultan Selangor cemar duli hadir Majlis Makan Malam UPM

OLEH SHEEDA FATHIL

SERDANG, 8 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli ke Majlis Makan Malam Sirih Pulang Ke Gagang @ Homecoming ke-10 yang diadakan di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

Turut mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan isteri, Masdiana Muhamad.

Ketibaan baginda disambut Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris.

Baginda yang juga merangkap Canselor UPM tiba di majlis berkenaan pada jam kira-kira 8.30 malam dan berangkat pulang jam 11 malam.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, baginda turut melancarkan Majalah Serdang Sun ‘Edisi Khas DiRaja’.

Selain itu, baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan penajaan dan penyampaian Anugerah Alumni kepada 24 orang yang juga merupakan ikon alumni yang banyak menyumbang bakti kepada UPM dan negara.

Difahamkan, lebih 1,000 alumni UPM hadir memeriahkan majlis berkenaan, semalam.

Majlis ‘homecoming’ itu merupakan tradisi bagi UPM menyambut alumninya bertujuan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan alumni selain menemukan rakan lama.

Ia juga bertujuan mengeratkan hubungan di antara alumni dan ‘alma mater’ serta merupakan landasan untuk alumni berkongsi kenangan lama bersama bekas rakan sekuliah, pensyarah juga alumni terbaru.

Bermula sejak tahun 2001, ia melibatkan kerjasama erat antara Pusat Alumni UPM dan Persatuan Alumni UPM.


Pengarang :