SELANGOR

EIP: Platform pengusaha taska dapat maklumat terkini

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 17 OKT: Program Jelajah Intervensi Awal menjadi platform pengusaha taska mendapat maklumat terkini terutamanya pembangunan silibus dan program pengasuhan anak-anak istimewa.

EXCO Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, maklumat, pendedahan dan kesedaran itu boleh diguna pakai di taska atau tadika masing-masing.

Katanya, Kerajaan Negeri mahu memberi kesedaran kepada pengusaha taska dan tadika supaya memberi peluang golongan Orang Kelainan OKU itu belajar di tempat mereka.

“Saya faham bukan mudah untuk pengusaha membuka ‘pintu’ untuk anak-anak istimewa ini belajar dalam komuniti namun, masyarakat perlu sedar dan bertanggungjawab membantu golongan ini supaya tidak terpinggir.

“Ibu bapa anak-anak istimewa ini berbelanja sehingga RM30,000 setahun bagi mendapatkan aksesbiliti pendidikan awal di beberapa pusat intervensi awal swasta dan kos ini sangat mahal selain perjalanan jauh ke pusat itu.

“Sehubungan itu, guru-guru dan pengusaha perlu memberi ruang kepada golongan ini bersama komuniti dan tidak meminggirkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program ‘Roadtour Early Intervention (EIP) di RHR Hotel Uniten, di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor , Mohammad Hanafi Maulud dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Taska dan Tadika Malaysia, Rozita Kamil.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, dalam usaha meringankan beban pengusaha itu, Kerajaan Negeri turut menawarkan latihan dan bimbingan mendidik anak-anak istimewa secara percuma.

Katanya, ia sebagai sistem sokongan kepada pengusaha melatih dan memberi pendidikan kepada anak-anak istimewa itu.

Terdahulu, Kerajaan Negeri sedang dalam usaha mewujudkan Pusat Intervensi Awal Kanak-kanak Istimewa bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan meliputi aspek kemahiran urus diri, bermain dan pendidikan.

Sebagai permulaan, ia akan dilaksanakan di dua taska setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih.

Pusat itu membolehkan ibu bapa yang memiliki anak istimewa tidak perlu menghantar anak mereka ke pusat swasta atau jauh dari rumah.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap anak istimewa itu dan mahu mereka mampu berdikari mendepani cabaran hidup tanpa bergantung kepada ibu bapa atau orang sekeliling.


Pengarang :