SELANGOR

Enam anggota PPDA Bomba mati lemas

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 OKT: Enam anggota bomba daripada Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) mati lemas di sebuah lombong, di Taman Putra Perdana, Cyberjaya, di sini, malam tadi.

Semua anggota terbabit dibawa arus deras semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang pelajar yang dipercayai lemas selepas jatuh ke dalam lombong berkenaan, kira-kira jam 6 petang tadi.

Jurucakap Bomba Selangor menerusi kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian lemas seorang remaja lelaki berusia 17 tahun sebelum menghantar pasukan bagi operasi membantu dan mencari mangsa.

Katanya, enam anggota terbabit adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya, BBP Shah Alam dan BBP Pelabuhan Klang.

“Empat yang lemas adalah dari PPDA Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omar Baki, 25, dan Yahya Ali, 24.

“Manakala dua lagi mangsa dari PPDA Shah Alam iaitu Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, dan Adnan Othman, 33.

“Kesemua mereka berjaya dinaikkan ke permukaan dan diberikan bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan, namun mereka disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

Mayat kesemua anggota bomba dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat

Bagaimanapun, sehingga jam 11 malam tadi, remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan lemas itu masih belum ditemui.


Pengarang :