SELANGOR

EXCO: Bekalan air pulih sepenuhnya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 OKT: Bekalan air kepada pelanggan di seluruh kawasan terjejas di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat kembali pulih, sejak 10.30 pagi tadi.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan dan Industri Asas Tani, Izham Hashim merakamkan setinggi penghargaan kepada Pengurusan Air Selangor yang berusaha memulihkan bekalan sepenuhnya.

“Usaha Air Selangor merancang kerja-kerja penggantian peralatan dan gangguan berjadual serta pengaktifan Pusat Khidmat Setempat selain menggerakkan bantuan melalui lori-lori tangki air dan edaran air botol minuman 5-liter kepada pengguna amat dihargai,” katanya dalam kenyataan.

Izham berkata, kerjasama pengguna sepanjang kerja berjadual itu dilaksanakan amatlah dihargai dalam segala usaha diambil adalah untuk memberikan perkhidmatan bekalan air yang lebih baik kepada pelanggan.

“Saya juga ingin memohon pengguna supaya merujuk kepada saluran komunikasi rasmi Air Selangor iaitu di www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor”, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store, bagi mendapatkan sebarang maklumat bekalan air,” katanya.

Terdahulu, henti tugas dilakukan bagi kerja pengantian peralatan di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.

Air Selangor sebelum ini menjangkakan kerja pengantian itu siap pada selewat-lewatnya 12 Oktober.


Pengarang :