SELANGOR

EXCO galak pergiat program pembangunan bapa

OLEH SHEEDA FATHIL

BESTARI JAYA, 12 OKT : Kerajaan Negeri menggalakkan program pembangunan bapa dilaksanakan dan tidak hanya memberi perhatian terhadap kaum ibu sahaja dalam peranan mengasuh serta mendidik anak-anak.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, beliau menyeru kepada semua pihak termasuk Universiti Selangor (UNISEL) dan agensi kerajaan supaya mempergiatkan usaha itu pada masa akan datang.

“Tanggungjawab memelihara institusi keluarga ini bukan sahaja terletak di bahu ibu, namun bapa yang merupakan ketua keluarga perlu memaksimakan peranannya demi melahirkan generasi masa depan yang soleh.

“Kita sering kali mendengar ilmu berkenaan memperkasa golongan wanita dan ibu, namun amat jarang didengari program membabitkan pemerkasaan golongan lelaki atau bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi ucaptama Majlis Penutupan Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018 di UNISEL, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dan Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berkata, beliau amat menggalakkan institusi di Malaysia khususnya perlu mengambil serius isu itu sekali gus menjadikan program membabitkan keibubapaan sebagai salah satu modul wajib dan bukan elektif.

“Saya mengesa UNISEL untuk mengadakan program atau kursus membabitkan keibubapaan kepada bakal graduan sekurang-kurangnya untuk mereka memahami asas-asas menjadi seorang ibu bapa selepas habis belajar nanti,”katanya.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, beliau kini sedang dalam perancangan melaksanakan ‘win win situation’, iaitu program berunsurkan pemberdayaan dengan memberi kemahiran kepada rakyat.

“Di Selangor sekarang kita banyak memberi, jadi saya merancang program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) seharusnya dilaksanakan dengan mengikat mereka menerusi program berunsurkan pemberdayaan.

“Sebagai contoh Kerajaan Negeri memberi RM500 kepada belia yang mahu mendirikan rumah tangga, namun jika diizinkan saya merancang mahu mengikat pasangan ini dengan program keibubapaan.

“Ia juga merupakan pemangkin demi memperkasakan keluarga serta memastikan pembangunan anak-anak lestari,” katanya.


Pengarang :