SELANGOR

EXCO gesa Prasarana pantau lif rosak

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUCHONG, 9 OKT: EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han melahirkan rasa kecewanya apabila lif yang terletak di transit aliran ringan (LRT) Stesen Bandar Puchong kerap rosak.

Katanya, lebih menyedihkan apabila lif terbabit tidak dapat digunakan oleh golongan orang kelainan upaya (OKU) yang turun di stesen berkenaan.

“Saya menerima aduan ini daripada beberapa rakan yang menggunakan kerusi roda, pada awalnya mereka ingin menghadiri program saya hari ini, namun tidak dapat berbuat demikian apabila lif di situ rosak menyebabkan kesemuanya tidak dapat turun.

“Prasarana digesa melihat masalah ini dengan lebih serius, difahamkan lif di situ juga kerap rosak, adalah amat menyedihkan apabila kemudahan seperti ini tidak disediakan dengan baik,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu Penguasa Eksekutif Beautiful Gate Foundation For The Disabled (Puchong), Elaine Sia yang juga menggunakan kerusi roda meluahkan rasa kecewanya dengan masalah tersebut.

“Saya sedih kerana lif di situ adalah diantara stesen utama yang menurunkan penumpang, dan terletak berdekatan dengan pejabat kami.

“Jadi ia seringkali digunakan oleh golongan seperti kami, jadi saya berharap supaya masalah ini diselesaikan segera dan selepas ini sekiranya berlaku kerosakan, Prasarana dapat menyelesaikannya dalam tempoh segera,” katanya.

Wakil Prasarana ketika dihubungi SelangorKini memaklumkan pihaknya sedang membaiki lif tersebut.

“Kami memandang serius masalah ini, bagaimanapun kerja ini lambat dilakukan kerana masalah bekalan,” katanya.


Pengarang :