SELANGOR

FIM: Pemikir intelektual kongsi pengalaman, idea

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 OKT: Kira-kira 300 pemikir intelektual dan ahli akademik berhimpun bagi berkongsi pandangan serta idea berhubung isu semasa dalam kalangan masyarakat masa kini, pada Forum Ilmuwan Muslim (FIM), di Hotel Concorde, di sini, malam tadi.

Timbalan Pengerusi FIM, Dato’ Kamaruddin Jaafar berkata, forum itu sebahagian daripada usaha golongan pemikir, di Malaysia yang diilhamkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak lebih 20 tahun lalu.

“Ini adalah bukti minat golongan pemikir terhadap pendekatan dilaksanakan Anwar sejak dari awal lagi supaya masyarakat Islam, di Malaysia dapat menggerakkan aktiviti dalam apa jua bidang.

“Sudah tentu ia berasaskan kepada pemikiran lebih mendalam, bahkan boleh dikatakan perbincangan akademik berlandaskan kajian dan mencambahkan pemikiran membabitkan ramai pihak,” katanya ketika ditemui Media Selangor, malam tadi.

Terdahulu, forum berkenaan menampilkan Penceramah merangkap Pengarah Pusat Polisi Postnormal dan Pengajian Masa Depan, Prof Ziauddin Sardar yang mengupas tajuk “Islam, Knowledge and Culture In Postnormal Times”.

Hadir sama, Anwar yang juga Pengerusi FIM dan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, beliau berkata, golongan pemikir intelektual dari luar negara juga turut serta memberi pandangan, idea dan cadangan kepada pemikir tempatan bagi merumuskan strategi terbaik demi masa depan negara.

“Pada masa sama, ia menjadi permulaan baik untuk bersama menggembleng golongan intelektual pemikir Islam, di Malaysia dan ditambah dengan pemikir, profesor serta intelektual baharu yang muncul selepas 20 tahun.

“Malah, intelektual muslim di Malaysia sebenarnya menunggu peluang seperti ini kerana ia membuktikan suasana masyarakat kita yang mempunyai pelbagai pandangan, suara politik dan ekonomi,” katanya.


Pengarang :