SELANGOR

FMM jalin kerjasama dengan kerajaan capai sasaran industri 4.0

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) akan bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha bagi mencapai sasaran dalam industri 4.0.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai berkata, sehubungan itu pihaknya akan membantu ahlinya bagi mendapatkan pendedahan dalam bidang berkenaan.

“FMM akan memberikan bimbingan kepada ahli serta bekerjasama pihak berkuasa dan penganjur berkaitan yang memiliki kepakaran teknologi ini.

“Dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan semua agensi kerajaan, kita akan bergerak bersama mencapai sasaran itu,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Polisi Nasional Untuk Industri 4.0 di Dewan Perdana, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Timbalannya, Dr Ong Kian Ming.

Mengulas lanjut, Thian Lai berkata, aspek terpenting harus diberikan perhatian bagi pengusaha menceburi industri itu ialah persaingan di mana mereka perlu berusaha dan mampu bersaing pada tahap ASEAN juga antarabangsa.

Katanya, bagi pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS), mereka tiada pilihan dan hanya mempunyai satu pilihan iaitu menceburi industri 4.0.

“Pengusaha IKS dan kumpulan lain lebih berjaya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan mengenai bagaimana bagi mendapatkan bantuan dana serta kemudahan lain.

“Modal bagi menceburinya mungkin lebih tinggi dan Permodalan Kemajuan Perusahaan Malaysia Berhad (MIDF) dan agensi lain berkaitan mungkin boleh membantu dalam perkara ini,” katanya.


Pengarang :