NASIONAL

Gandingan Anwar-Dr Siddiq dalam pidato Malaysia Baharu

SHAH ALAM, 18 OKT: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dan Dato’ Dr Siddiq Fadzil bakal menyampaikan syarahan pada seminar kebangsaan sempena Muktamar Sanawi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ke-47, pada 20 Oktober ini.

Setiausah Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, seminar yang membabitkan dua tokoh besar itu akan berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia, bermula jam 8.30 pagi.

Katanya, Anwar akan menyampaikan ucaptama bertajuk “Visi Islam Dalam Malaysia Baharu”, manakala Dr Siddiq akan menyampaikan pidato penegasan bertemakan “Malaysia Baharu & Kesinambungan Reformasi-Islahiy”.

“Seminar bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman masyarakat khususnya umat Islam berkenaan visi sebenar Islam yang boleh dikembangkan sebagai satu cara hidup syumul serta menyeluruh.

“Diharapkan ia memberi tasawwur lebih segar untuk membina pendekatan baru yang lebih fokus dan pragmatik-realistik, sesuai dengan visi Islam yang kontemporari,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut berharap seminar itu dapat meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman peserta berhubung peranan yang perlu dimainkan umat Islam, khususnya dalam menggerakkan aktivisme dakwah serta kehidupan seharian sebagai rakyat Malaysia.

Pendaftaran seminar itu boleh dibuat menerusi pautan https://www.billplz.com/seminarkebangsaan atau hubungi 019-3531967 dan/atau 018-665 4256 untuk maklumat lanjut.


Pengarang :