BERITA UTAMANASIONAL

Gandingan Anwar-Mahathir angkat martabat rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

PORT DICKSON, 12 OKT: Gandingan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kabinet akan dapat mengangkat martabat rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sangat bermakna kerana bakal mencorakkan masa depan negara lebih gagah, wibawa dan diyakini pelabur.

“Keyakinan pelabur rendah kerana yang lama mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa yang sangat luar biasa.

“Tetapi saya yakin dengan gandingan kedua-duanya dapat memulihkan ekonomi dan mengangkatkan martabat rakyat.

“Oleh itu, esok hari yang penting jangan pandang remeh. Mahu jadi negara maju, tetapi perlu dipimpin yang berintegriti dalam pikul amanah itu.

“Bertanding tujuh penjuru tetapi boleh ke keenam yang lain boleh galas amanah itu,” soalnya pada ceramah Grand Finale di Bagan Pinang, di sini.

Pada masa sama, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kerana memberikan Pakatan Harapan (PAKATAN) kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke- 14 lalu.

Bagaimanapun, katanya pengundi perlu membuat pilihan sekali lagi dan menaikkan Presiden KEADILAN itu sebagai Perdana Menteri ke lapan.

Katanya, ia berdasarkan trek rekod yang baik dan berpengalaman menguruskan ekonomi dengan baik.

“Melihat sambutan malam ini yang sangat positif saya yakin Anwar akan memenangi PRK Port Dickson ini,” katanya.


Pengarang :