GLOBAL

Gempa Sulawesi: 800 jemaah berada di Masjid Baiturrahman sebelum tsunami

KOTA PALU 4 OKT: Sekitar Masjid Baiturrahman yang terletak di tengah bandar Kota Palu menjadi antara kawasan teruk terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.4 pada skala Richter dan kejadian tsunami di sini, Jumaat lalu.

Dianggarkan 800 jemaah sedang bersiap menunaikan solat maghrib ketika musibah melanda.

Seorang mangsa, Sultami Abdul Rohim, 31, yang ketika kejadian berada berhampiran masjid itu berkata sebelum ombak naik, berlaku satu gegaran kuat hingga berlaku retakan pada bangunan.

“Gegaran itu sangat kuat sehingga ada yang menunggang motosikal jatuh dan semua orang panik cuba menyelamatkan diri masing-masing.

“Selepas gegaran itu, secara tiba-tiba datang satu arus ombak setinggi tiang elektrik terus membadai bangunan masjid serta pusat beli-belah berhampiran,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sultami berkata dalam kekalutan itu, beliau sempat menyelamatkan diri dengan naik ke bangunan kedai berhampiran.

Menurutnya, kawasan masjid itu turut menempatkan sekolah agama namun semua pelajarnya selamat kerana ketika kejadian waktu sekolah telah tamat.

“Jumlah mayat yang dijumpai di kawasan berhampiran masjid itu antara yang paling ramai, sekitar 300 orang,” katanya.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada lebih 1,424 orang.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :