SUKANKINI

Golf Jemputan PKNS 2018 meriah, kerjasama baik semua pihak

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 6 OKT: Kejohanan Golf Jemputan PKNS 2018 berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai pihak yang sering memberi kerjasama membanggakan bagi menjayakannya.

Kejohanan tahunan anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu kali ini dijayakan dengan kerjasama PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC).

Presiden KSR PKNS, Mohd Muhidin Faharuddin berkata, kejayaan kejohanan itu mendapat perhatian dan ia menjadi medan pertemuan PKNS bersama pihak berkepentingan dalam mengeratkan hubungan dan kerjasama yang sedia terjalin.

“Ia mendapat sambutan dengan penyertaan ramai yang datang dari seluruh negara.

“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama dalam menjayakannya,” katanya kepada media selepas berakhir kejohanan itu di Kelab Golf Seri Selangor di sini, hari ini.

Perasmian penutup kejohanan itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Kejohanan Golf Jemputan PKNS 2018 diadakan sempena sambutan ulangtahun ke-54 PKNS tahun ini mendapat penyertaan dari seluruh negara termasuk Perbadanan Johor (JCorp).

Selain kejohanan itu, Mohd Muhidin berkata, PKNS turut memberi tumpuan kepada satu lagi pertandingan besar iaitu Kejohanan Golf Gemaputra membabitkan penyertaan semua Perbadanan Kemajuan Negeri dari seluruh negara.

Katanya, kejohanan dwitahunan itu menyaksikan PKNS sering mempamerkan prestasi baik dan menjuarainya pada edisi tahun ini di Perlis, Mac lalu.

“Kejohanan seterusnya pada 2020 di mana PKNS akan bertindak selaku tuan rumah.

“Saya harap PKNS akan mengekalkan prestasinya untuk cuba menjuarai kejohanan ini dua tahun lagi,” katanya.


Pengarang :