BERITA UTAMASELANGOR

Hak dan kepentingan kaum Asal terus dibela – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUCHONG, 20 OKT: Kerajaan Negeri memberi jaminan usaha murni untuk membela nasib masyarakat Asal akan diteruskan seiring dalam arus pembangunan dengan menjaga hak dan kepentingan suku kaum minoriti itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia dilaksanakan bagi memastikan kaum Asal bebas mengamalkan adat tradisi mereka mengikut kepercayaan masing-masing.

Katanya, bantuan daripada segi dana dan rizab kerajaan selain usaha bersepadu jabatan terlibat dalam Kerajaan akan dapat membantu mengintegrasi serta meningkatkan taraf hidup masyarakat berkenaan.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5.2 juta dalam Bajet 2018 dengan menggariskan beberapa pelan tindakan bagi memastikan khazanah seni budaya bangsa ini dapat terus diperkaya, dipelihara dan diwarisi sebaiknya.

“Selain itu, peruntukan tersebut boleh digunakan bagi membaik pulih kemudahan asas, jalan masuk ke perkampungan dan penambahbaikan infrastruktur dikawasan perkampungan orang Asal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Karnival Kebudayaan Dan Kesenian Orang Asli, di Padang Perkampungan Orang Asal Sungai Rasau Batu 14, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kesihatan, Kebajikan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud; Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pihaknya menerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan, Pelancongan Peradaban Melayu Dan Warisan juga turut menyasarkan untuk menjadikan perkampungan Orang Asal sebagai sebuah destinasi pelancongan yang tersohor melalui arca kesenian serta kebudayaan.

Justeru katanya, bagi tujuan penambahbaikan produk pelancongan sedia ada, seluruh komuniti Kampung Sungai Rasau digesa supaya dapat memperkenalkan satu hasil kraftangan yang unik untuk dijadikan ia sebagai ikon.

“Hasil kraftangan ini diyakini dapat menarik perhatian pelancong bukan sahaja dalam negara, malahan dari luar negara,” katanya.

Dalam program sama, beliau menyampaikan cenderahati kepada penaja yang menjayakan karnival berkenaan.

Terdahulu, Amirudin turut menyaksikan beberapa persembahan khas termasuk tarian ‘Bhangra’ yang merupakan tarian tradisional kaum Sikh dan tarian ‘Sewang’ daripada kaum Mah Meri.

Selain itu, beliau juga meluangkan masa melawat tapak pameran dan rumah contoh orang Asal untuk demo perkahwinan suku kaum Temuan.


Pengarang :