EKONOMI

Harga minyak Brent susut kepada AS$83.25 setong

SINGAPURA 8 OKT: Harga minyak mentah Brent susut lebih satu peratus hari ini selepas Washington dilaporkan berkata ia mungkin memberikan pengecualian sekatan ke atas eksport minyak Iran bulan depan.

Kejatuhan harga komoditi itu juga disebabkan faktor Arab Saudi yang dikatakan akan menggantikan sebarang potensi kekurangan bekalan daripada Tehran.

Niaga hadapan penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent berada pada AS$83.25 setong pada 0115 GMT, susut 91 cent atau 1.1 peratus daripada penutup yang terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) susut 57 cent atau 0.8 peratus kepada AS$73.77 setong.

Sekatan AS dijangka dilaksanakan ke atas eksport minyak Iran bermula 4 November dengan Washington memberi tekanan kepada kerajaan dan syarikat seluruh dunia untuk tidak mengimport minyak dari Tehran.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, pegawai kerajaan AS berkata, negara berkenaan mungkin mempertimbang pengecualian ke atas negara yang sudah mengurangkan import minyak Iran.

Dana lindung nilai mengurangkan kenaikan harga minyak mentah AS minggu terbaharu kepada paras terendah dalam tempoh hampir setahun, demikian menurut data yang dikeluarkan pada Jumaat.

Mengulas mengenai harga minyak mentah, Ketua Pedagang Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes, berkata terdapat juga ‘cakap-cakap’ yang Arab Saudi sudah menggantikan semua ‘kehilangan’ bekalan dari Iran.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :