NASIONAL

Harga rumah bagi projek baharu turun 10 peratus

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Harga rumah bagi projek perumahan baharu dijangka turun sebanyak 10 peratus susulan langkah kerajaan mengecualikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap bahan binaan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata ia hasil persetujuan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) untuk melaksanakan penurunan harga itu.

“Pengecualian SST kita telah berikan kepada bahan binaan untuk memberi rangsangan kepada sektor hartanah dan kita harap ia boleh menyebabkan penurunan harga rumah.

“Kita harap dan tunggu untuk lihat harga baharu rumah seperti yang diumumkan Rehda. Terima kasih kerana mereka memberi respons kepada pengecualian SST untuk bahan binaan ini walaupun pada saat-saat akhir kerana dateline akhir bulan ini, sekurang-kurangnya boleh turun kepada tahap 10 peratus,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Lim, bagaimanapun, menjelaskan bahawa penurunan harga rumah itu tidak melibatkan projek perumahan harga terkawal seperti projek rumah kos rendah dan sederhana rendah.

Bagi harga projek perumahan sedia ada, beliau meminta rakyat menunggu pengumuman semasa pembentangan Belanjawan 2019 Jumaat ini.

Ditanya tindakan sekiranya pemaju masih enggan menurunkan harga rumah seperti yang diharapkan, Lim berkata kerajaan akan mengenakan semula SST bagi bahan binaan itu.

“Tindakan akan diambil jika mereka enggan. Tetapi saya percaya Rehda akan menerangkan kepada anggotanya dan mereka akan patuhi, jika tidak kami akan cakap tentang permintaan dan bekalan pasaran dan mereka akan dihukum oleh pembeli.

“Bagi saya, saya nak pengurangan 10 peratus dan saya harap Rehda boleh bekerja ke arah itu untuk pastikan ia tercapai dan saya akan beri mereka masa,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :