BERITA UTAMASELANGOR

Harga Rumah Selangorku turun RM20,000

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 OKT: Rakyat Selangor berpeluang memiliki Rumah Selangorku pada kadar lebih murah apabila Kerajaan Negeri bersetuju menurunkan harga skim perumahan berkenaan sebanyak RM20,000 menerusi Dasar Rumah Selangorku 2.0.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pengurangan itu bertujuan memudahkan dan meningkatkan jumlah pemilikan rumah oleh rakyat, di negeri ini.

Katanya, pembaharuan dasar itu juga bagi menyelaras semula dasar sedia ada supaya sentiasa relevan untuk dikuat kuasakan sejajar situasi dan perkembangan semasa industri perumahan Selangor.

“Bagi memastikan pembangunan ini dapat dinikmati setiap masyarakat tanpa mengira warna kulit, status dan pendapatan, Kerajaan Negeri merangka dasar bertujuan memperbanyakkan penyediaan rumah mampu milik lebih berkualiti, selesa serta dilengkapi kemudahan mencukupi, pada harga serendah RM42,000.

“Bermula April tahun ini, dasar perumahan ini dikenali sebagai Dasar Rumah Selangorku 2.0 yang menyentuh penambahbaikan daripada aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaannya diharap dapat dimanfaatkan pemaju, pelaksana dasar serta pemilik rumah khususnya rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Pembangunan Hartanah Harga Kawalan Negeri Selangor bertemakan ‘Satu Keluarga, Satu Kediaman Yang Sempurna’ dianjurkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Dalam usaha meluaskan akses pemilikan perumahan itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri menitik beratkan kesukaran pembeli mendapatkan pimbiayaan dari institusi kewangan, terutama pembeli pertama.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga memohon kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara untuk meneliti hutang rakyat berpunca daripada penggunaan ‘Retail Consumption’ seperti kad kredit, pinjaman peribadi, pelajaran dan kenderaan untuk pemilikan rumah.

“Pinjaman bagi pembiayaan perumahan akan menghasilkan pemilikan aset lebih bernilai dan meningkat dari masa ke masa melalui apresiasi modal atau ‘Capital Appreciation’.

“Ini jelas lebih baik berbanding hutang berpunca daripada hutang pinjaman kenderaan contohnya yang menghasilkan pemilikan kereta yang susut nilainya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri juga akan memberi tumpuan pembinaan luar bandar atau ZON 3 dengan mensyaratkan pembinaan jenis bertanah dan lebih sesuai untuk ditawarkan kepada penduduk, di kawasan berkenaan.

Untuk rekod, sehingga September tahun ini, sebanyak 204 projek pembangunan rumah mampu milik membabitkan 104,460 unit kediaman diberikan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Daripada jumlah itu, sebanyak 6,303 unit siap dibina dan diserahkan kunci, manakala 22,336 unit kini dalam pembinaan dan dijangka boleh diduduki secara berperingkat bermula 2018 sehingga 2022.

Dasar Rumah Selangorku 2.0 juga membabitkan pengurangan peratusan penyediaan daripada 50 hingga 40 peratus, pengurangan keluasan daripada 1,000 kaki persegi (KPS) kepada 900 KPS, pengekalan densiti maksimum sehingga 120 unit per ekar dan sebagainya.


Pengarang :