PBTSELANGOR

Hari Mesra MBSA mudahkan pengguna salur aduan, cadangan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil inisiatif bagi memudahkan aduan dan cadangan disalurkan demi kepentingan masyarakat bandaraya itu.

Dato’ Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, konsep seperti ini secara tidak langsung dapat membantu menyelesaikan permasalahan komuniti setempat dan memberi ruang orang ramai berkomunikasi secara dua hala dengan pegawai MBSA.

“Kaunter dibuka daripada pelbagai Jabatan, khususnya Jabatan Teknikal seperti Jabatan Kejuruteraan, Jabatang Perancangan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

“Program ini bermula sejak jam 11.00 pagi dan dijangka berakhir jam 9.00 malam untuk memudahkan masyarakat menyampaikan apa jua cadangan dan aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Hari Mesra MBSA Sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-18 di Plaza Shah Alam di sini, semalam.

Ahmad Zaharin berkata, MBSA amat menitikberatkan penganjuran program seperti ini kerana dapat mendekatkan MBSA dengan orang ramai selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri.

Katanya, MBSA sentiasa berusaha memperkasakan sistem penyampaiannya supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“MBSA juga sentiasa membuat pemantauan dan seliaan pada setiap masa untuk memastikan isu perbandaran seperti jalan berlubang, kutipan sisa pepejal dan penyelenggaraan infrastruktur dapat ditangani cepat.

Sementara itu, majlis diadakan itu dirasmikan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.


Pengarang :