SELANGOR

Henti tugas LRA Semenyih: Kerja penyelenggaraan siap 70%

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 9 OKT: Kerja penyelenggaran Loji Rawatan Air  (LRA) Semenyih dan kerja henti tugas sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan yang bermula jam 9 pagi tadi, dilaporkan sudah 70 peratus

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, pihaknya menjangkakan sambungan bekalan air akan mula disambung secara berperingkat mulai jam 9 pagi esok.

“Kita mensasarkan paling awal ada beberapa kawasan akan mula menerima air jam 9 pagi esok manakala, kawasan yang mempunyai tekanan rendah paling lewat pada hari esok.

“Namun, secara keseluruhan ia dijangka pulih dan penduduk akan mula menerima air sepenuhnya pada hari esok jam 3 petang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Turun Padang di Pusat Khidmat Setempat Air Selangor, Taman Rekreasi Persiaran Wawasan, di sini, hari ini.

Izham turut membuat tinjauan dengan menghantar bekalan air di Pangsapuri Sri Penaga, di sini.

Sementara itu, mengulas samada kerja henti tugas itu boleh menjamin gangguan bekalan air tidak akan berlaku lagi, Izham berkata, pihaknya tidak dapat menjamin perkara itu, namun gangguan kemungkinan dalam kadar yang terhad.

“Kerja penyelenggaraan ini dilakukan setiap tahun cuma kali ini adalah ‘major work’ yang menyebabkan kita terpaksa hentikan sementara bekalan air di beberapa kawasan,” katanya.

Katanya, atas sebab kerja henti tugas itu, pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) turut menyediakan kemudahan demi membantu penduduk yang mengalami masalah tersebut.

“Air Selangor turut menyediakan 80 tangki statik, 32 lori tanker untuk kemudahan penduduk mengalami masalah terputus bekalan air,” katanya.

Terdahulu, SelangorKini melaporkan, pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang akan menghadapi gangguan bekalan air.

Air Selangor memaklumkan, ia berikutan hentitugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih bagi pelaksanaan kerja-kerja berjadual penggantian peralatan bermula jam 9 pagi hari ini.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang di www.syabas.com.my, Facebook ‘Air Selangor’, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store, untuk makluman yang akan dikemaskini dari masa ke semasa.


Pengarang :