PBTSELANGOR

Highland Towers tak jadi roboh Oktober

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 16 OKT: Rancangan awal untuk merobohkan perumahan Highland Towers pada bulan ini tidak dapat dilaksanakan, kata Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain.

Katanya, ia berikutan masih ada pemilik rumah berkenaan yang gagal dikesan oleh Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers.

“MPAJ turut diberitahu berlakunya kekangan untuk melakukan perobohan kerana ada diantara pemilik yang cuba meminta pampasan sekiranya bangunan tersebut akan dirobohkan.

“Tambahan lagi, tanah di situ juga di bawah kawalan Jabatan Insolvensi Malaysia, sekiranya ia masih tertakluk di bawah jabatan itu, maka MPAJ atau mana-mana pihak tidak boleh melakukan kerja tanah di Highland Towers,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memaklumkan bangunan Highland Towers dijangka akan dirobohkan pada Oktober setelah rancangan pembangunan semula dijangka bermula Disember akan datang.

Beliau turut memaklumkan kerja perobohan akan diuruskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selepas isu teknikal dan berkaitan diselesaikan.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dalam tragedi yang meragut nyawa 48 orang.

Ogos lalu, Zuraida mencadangkan kawasan itu dijadikan taman rekreasi menggantikan perumahan kos rendah B40 selepas menyedari tapak berkenaan tidak sesuai untuk sebarang projek pembinaan bangunan.


Pengarang :