SENI

Hilman yakin Kerajaan PAKATAN terbuka dengar kritikan penggiat seni

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 14 OKT: Masyarakat penggiat seni pada pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dijangka lebih berani dan terbuka melontarkan kritikan terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam karya seni masing-masing.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, beliau yakin kerajaan turut mengambil sikap terbuka untuk mendengar kritikan golongan terbabit.

“Saya kira kita cukup terbuka untuk menerima kritikan dan pandangan lebih tajam berbanding sebelum ini di mana kita faham ini adalah lumrah apabila kita menjadi kerajaan, sudah tentulah kritikan atau lontaran yang disampaikan masyarakat seni itu lebih tajam berbanding kita sebagai pembangkang.

“Saya kira kita perlu raikan dan saya yakin Kerajaan Pakatan Harapan hari ini boleh menggarap pandangan ini untuk jadikan kita lebih kuat dan Insha Allah kita mampu menerima pandangan itu untuk sama-sama menerajui Malaysia baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Musikalisasi Puisi: Selamat Menunaikan Ibadah Puisi di Rumah Selangor di sini, malam tadi.

Hilman berkata, setiap kelompok masyarakat seperti penggiat seni juga mempunyai peranan besar dalam membina masyarakat lebih maju di era Malaysia Baharu.

Sementara itu, ketika mengulas kehadiran penyair tamu dari Indonesia, Joko Pinurbo yang juga dikenali sebagai Pak Jokpin, Hilman berkata, kehadiran nama besar itu amat dialukan bagi memperkukuhkan industri seni dan budaya di Selangor.

“Saya amat gembira kerana berpeluang bersama Rumah Selangor ini untuk membaca puisi dan saya memilih puisi bertajuk Teman Lama dan ianya merupakan salah satu karya terkenal Pak Jokpin dan saya mengucapkan terima kasih kepada Rumah Selangor kerana ini adalah usaha yang baik untuk memperkukuhkan budaya di Selangor ini,” katanya.

 


Pengarang :