NASIONAL

Hormati Dewan Rakyat, elak kata kesat

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 5 OKT: Tokoh Maal Hijrah 2018, Prof Dato’ Dr Siddiq Fadzil menegur sikap segelintir ahli parlimen yang suka menimbulkan perang mulut ketika persidangan.

Katanya, lebih memalukan kadangkala terdapat ucapan dangkal serta kesat yang dikeluarkan ‘ahli-ahli yang berhormat’.

“Beberapa kali sudah diberitahu, mereka berada dalam ‘dewan yang mulia’, namun kata-kata antara satu sama lain tidak menggambarkan ia sebegitu.

“Selaras dengan Malaysia Baru, sepatutnya budaya politik kita perlu lebih santun dan kita mahu ahli parlimen yang cerdas, rasional serta lebih bersopan santun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana: Hijrah ke Malaysia Baharu, Mencari Makna Di Balik Kata anjuran Insititut Darul Ehsan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Universiti Selangor.

Dr Siddiq berkata, walaupun Parlimen adalah gelanggang debat dan mengadu kekuatan hujah yang wajar, namun ia harus didasari dengan semangat saling menghormati dan menghargai.

“Agenda transformasi kemanusiaan dan kebudayaan harus dapat membina bangsa berkarakter, beradab dan berintegriti.

“Dalam pemikiran Melayu, manusia unggul disebut orang budiman dan tuntutan kita yang ingin melihat Parlimen cerdas serta rasional adalah wajar, tidak berlebihan,” katanya.


Pengarang :