BERITA UTAMASELANGOR

Hubungi Unit Pengurusan Bencana segera jika kawasan dinaiki air

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 9 OKT: Selangor diramal menerima hujan pada paras tertinggi sepanjang Oktober ini berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Justeru itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menasihatkan supaya penduduk segera menghubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor sekiranya kawasan persekitaran dinaiki air.

“Di musim hujan lebat ini sekiranya kawasan anda dinaiki air dan tinggal berhampiran kawasan sungai, sila hubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-5035-0920/0921, atau hubungi terus balai polis atau bomba yang berdekatan,” tulisnya melalui laman twitter peribadinya.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat semasa kenaikan paras air melalui twitter @SmartSelangor.

Sebelum ini SelangorKini melaporkan, paras air laut bagi Pelabuhan Klang berada pada paras tertinggi bermula 9 hingga 11 Oktober.

Smart Selangor Command Centre (SSCC), Unit Pengurusan Bencana negeri, memaklumkan ketinggian paras air laut akan mencecah 5.6 meter di persisiran pantai negeri.


Pengarang :