NASIONAL

Identiti pengenalan kekang penipuan e-dagang

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI BESI, 11 OKT: Kerajaan Persekutuan berhasrat mewujudkan identiti pengenalan perniagaan untuk peniaga e-dagang bagi membolehkan industri berkenaan berkembang lebih pesat, di samping mengawal gejala penipuan terhadap pelanggan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kewujudkan identiti itu membolehkan transaksi perniagaan berlangsung selamat memandangkan sebelum ini berlaku unsur penipuan.

“Ini adalah idea baharu yang akan diperkenalkan bagi memantapkan lagi industri e-dagang dan sudah dilakukan di beberapa negara luar, justeru kita akan meneliti perkara itu terutama daripada segi pelaksanaan.

“Pihak kementerian sedang melihat beberapa perkara termasuk peruntukkan undang-undang yang perlu dipinda bagi merealisasikan hasrat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sidang Kemuncak Keusahawanan e-dagang anjuran Malaysiakini, di Royal Ballroom, Palace of The Golden Horses.

Pada masa sama, Gobind berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd bagi melaksanakan perkara itu yang dijangka mula diperkenalkan, pertengahan 2019.

Katanya, kementeriannya memandang serius sebarang bentuk penipuan yang berlaku terhadap perniagaan dalam talian dan sedang berusaha menutup ruang itu.

 


Pengarang :