SELANGOR

Industri 4.0: Usah harap insentif dan subsidi untuk maju

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kerajaan tidak akan menyediakan sebarang bentuk subsidi atau insentif kepada pihak berkaitan yang terbabit dalam industri 4.0.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, peluang diberikan kerajaan itu dalam bidang berkenaan perlu dilihat sebagai satu insentif bagi memperoleh lebih pendapatan dan keuntungan.

“Semua orang mahu subsidi dan insentif, mengapa tidak ambil kemudahan dan peluang diberikan ini.

“Apa yang kerajaan terdahulu laksanakan dengan memberi wang kepada rakyat, tidak bekerja pun anda mendapat RM500.

“Jika Malaysia menjadi seperti itu, lama kelamaan mereka tidak boleh berfikir, bergerak dan tidak mampu membantu diri sendiri kerana hanya mengharapkan bantuan subsidi,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Polisi Nasional Untuk Industri 4.0 di Dewan Perdana, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Timbalannya, Dr Ong Kian Ming dan Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Datuk Soh Thian Lai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak berkaitan dalam industri berkenaan harus memikirkan formula bagi meningkatkan hasil dan kecekapan selain berusaha mencapai sasaran dalam industri 4.0.

“Mereka perlu mencari kaedah berkesan bagi tujuan itu dengan meningkatkan keuntungan dan dalam masa sama melakukan kerja dengan kos lebih rendah,” katanya.


Pengarang :