GLOBAL

Iran lancar serangan peluru berpandu

TEHERAN 2 OKT: Pasukan tentera elit Pengawal Revolusi Iran melancarkan serangan peluru berpandu terhadap ibu pejabat ‘pengganas’ di Syria sebagai membalas serangan ke atas bandar Ahvaz di Iran pada September lalu.

“Ibu pejabat mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah keganasan di Ahvaz diserang dengan menggunakan peluru-peluru berpandu balistik oleh unit Pengawal Revolusi beberapa minit lalu. Sasaran tersebut terletak di timur Sungai Euphrates,” kata pasukan berkenaan di laman web rasminya.

“Berdasarkan laporan awal, ramai ‘pengganas takfiri’ dan pemimpin yang bertanggungjawab ke atas jena­yah keganasan di Ahvaz telah terbunuh atau cedera dana serangan peluru berpandu itu,” tambahnya.

Terma ‘takfiri’ digunakan oleh pihak berkuasa Iran untuk merujuk kepada pejuang Sunnah.

Unit elit berkenaan tidak mendedahkan lokasi misil itu dilancarkan.

Bagaimanapun menurut agensi berita Fars, unit Pengawal Revolusi Iran melancarkan misil Zolfagar dan Qiam yang setiap satu memiliki jarak sasaran 750 kilometer (km) dan 800km.

Pada 22 September lalu, seramai 24 orang ditembak mati dalam serangan ke atas satu perarakan tentera di Ahvaz, barat daya Iran. Kumpulan militan Daesh di Syria mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

SUMBER: AFP


Pengarang :