Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Isu keselamatan jejas sistem ‘e-voting’ – BERSIH

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 OKT: Isu keselamatan sistem e-voting antara masalah utama yang perlu dilihat sebelum ia dilaksanakannya secara meluas.

Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Yap Swee Seng berkata, ia memandangkan sistem pengundian atas talian itu boleh digodam untuk tujuan sabotaj.

Katanya, disebabkan itu sehingga kini tidak semua negara menggunakan sistem e-voting dalam pilihan raya masing-masing.

“Antara negara yang sudah melaksanakannya termasuk India dan Filipina, namun ia bukanlah secara menyeluruh, malah ada negara-negara besar masih melaksanakan sistem undian secara konvensional, sama seperti Malaysia, ini semua gara-gara masalah sekuriti.

“Tidak dinafikan negara kita boleh juga melaksanakan sistem e-voting dalam Pilihan Raya Umum (PRU), namun pelbagai kajian secara menyeluruh perlu dilakukan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Swee Seng berkata, perlaksanaan sistem e-voting melalui Pemilihan Parti KEADILAN menjadi penanda aras terhadap keberkesanan sistem itu.

Namun katanya, BERSIH mencadangkan supaya kerajaan terlebih dahulu melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara atas talian.

“Ini memandangkan ada diantara orang awam yang mengeluh kerana agak sukar untuk membuat pendaftaran di pejabat pos, jadi lebih baik wujudkan sistem pendaftaran pengundi melalui online.

“Ia juga seiring dengan kemajuan teknologi dan membantu golongan muda yang lebih tertarik dengan sistem lebih cepat dan mudah,” katanya.

=EZY=


Pengarang :