SELANGOR

Jangan salah guna tempat letak kereta OKU

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 17 OKT: Orang ramai diingatkan supaya tidak menyalahgunakan tempat letak kereta khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong berkata, kemudahan tersebut disediakan buat OKU supaya mereka lebih mudah mendapatkan perkhidmatan perubatan di hospital awam.

“Namun saya kecewa kerana ada aduan daripada OKU bahawa tempat letak kereta ini disalahgunakan oleh orang normal yang tidak bertanggungjawab.

“Ia menyebabkan ada antara OKU ini membatalkan hasrat mereka untuk mendapatkan rawatan kerana tempat letak kereta itu sudah digunakan,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak letak kereta OKU di Hospital Ampang.

Gara-gara masalah tersebut, Bryan mencadangkan supaya tempat letak kereta OKU dipasang penghalang khas.

“Selepas pemasangan ini dibuat, mana-mana OKU boleh meminta pengawal keselamatan yang bertugas untuk membuka halangan tersebut, jadi ia akan memudahkan OKU datang membuat pemeriksaan kesihatan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Hospital Ampang, Dr Ghazi Abd Manaf berkata, sebanyak 10 tempat letak kereta OKU disediakan oleh pihak hospital.

“Saya juga tidak nafikan memang ia pernah disalahguna oleh orang awam, dan cadangan ADN ini amat praktikal untuk digunakan buat orang awam,’ katanya.


Pengarang :