SELANGOR

Jelajah 360 Smart Selangor realisasi Smart State 2025

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 15 OKT: Program Jelajah 360 Smart Selangor: Alami Smart Selangor 2018, di Pantai Remis, di sini, selaras matlamat menjadikan negeri itu sebagai Smart State yang unggul, di rantau Asia menjelang 2025.

Siri pertama jelajah itu bertujuan memberi pendekatan secara terus kepada rakyat di Selangor, sekali gus mempromosikan Smart Selangor.

Ketua Pegawai Kewangan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Zannifa Azura Ahmad berkata, ia pada masa sama memberi peluang menyampaikan intipati agenda Selangor, khasnya terhadap rakyat, di negeri itu.

“Kerajaan Negeri memberikan mandat kepada MBI Selangor untuk menjadikan visi Smart Selangor sebagai satu realiti.

“Sepanjang Jelajah 360 Smart Selangor, MBI menyediakan trak “Smart Selangor Visual Reality Simulator”, yang akan memberi gambaran kepada rakyat berkenaan masa depan Smart Selangor dan wawasannya menjadi Negeri Pintar utama, di Asean menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah 360 Smart Selangor: Alami Smart Selangor, di sini, semalam.

Pada masa sama, Zannifa Azura berkata, Kerajaan Negeri mahu mewujudkan inisiatif seluruh negara yang berkesan sebagai pemangkin ekonomi dan sosial.

Justeru katanya, Smart Selangor bukan retorik semata-mata, bahkan ia adalah salah satu agenda utama menghubungkan rakyat, negeri dan industri.

“Setelah tiga tahun pengenalan Smart Selangor, terdapat pelbagai inisiatif yang dilancarkan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, di Selangor.

“Saya sangat gembira dengan inisiatif ini dan berharap penduduk sekitar Kuala Selangor tidak ketinggalan bersama merasai pengalaman Smart Selangor menjadi negeri pintar menjelang 2025,” katanya.

Sehubungan itu, beliau optimis Selangor dapat merealisasikan visi Smart Selangor dengan adanya sokongan mantap daripada semua pihak membabitkan jabatan, komuniti dan kerajaan.

Antara pihak yang memperhebatkan program berkenaan adalah Universiti Selangor, Bahagian Teknologi Maklumat SUK Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Majlis Daerah Kuala Selangor dan jabatan serta agensi Kerajaan Negeri turut menjadi penganjur bersama.

MBI turut bekerjasama dengan penganjur Malaysian Women Basketball League dalam penganjuran Kejohanan Bola Keranjang 3 on 3 bagi kategori 12 hingga 20 tahun, di setiap kawasan sepanjang jelajah berkenaan.

Manakala, daerah Hulu Selangor bakal menjadi lokasi bagi siri kedua penganjuran sama, pada November.


Pengarang :