PENDIDIKANSELANGOR

‘Jom Masuk INPENS’ dedah pembelajaran kemahiran impak tinggi

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 1 OKT: Kolej Antarbangsa INPENS (INPENS) hari ini melancarkan program ‘Jom Masuk INPENS’ bertujuan memberi peluang kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 untuk meninjau suasana pembelajaran, di kolej berkenaan.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, program yang berlangsung selama 10 hari sehingga 9 Oktober itu mempelawa kehadiran calon SPM 2018 daripada 19 sekolah, di sekitar daerah Kuala Selangor.

Katanya, inisiatif itu diwujudkan untuk menarik minat belia Selangor menceburi dunia kemahiran memandangkan jumlah graduan kemahiran di negara ini masih jauh ketinggalan berbanding negara serantau.

“INPENS selaku institusi kemahiran di bawah Kerajaan Selangor berperanan memberi latihan kemahiran dengan standard industri, sekali gus menjayakan agenda negeri menyediakan sumber daya manusia berkemahiran dalam industri berimpak tinggi,” katanya.

Selain melawat persekitaran INPENS, pelajar sekolah itu turut dibawa ke sektor kemahiran untuk melihat dengan lebih dekat peralatan pembelajaran dan hasil produk kemahiran yang ada.

Pelajar turut diberikan taklimat kursus dan pendedahan berkenaan peluang kerjaya graduan kemahiran sebelum memulakan lawatan.

INPENS bakal membuka sesi kemasukan seterusnya, pada Januari 2019 dan sebarang pertanyaan berkenaan kemasukan boleh dibuat di talian 03-3281 2617 / 03-3281 2619.


Pengarang :