BERITA UTAMAPENDIDIKANSELANGOR

Jordan tawar tempat untuk pelajar Selangor

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

KAHERAH, 13 OKT: Kerajaan Jordan menawarkan beberapa bidang pengajian bagi membolehkan lebih ramai pelajar Selangor menyambung pengajian, di negara berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Jordan, Prof Ahed Al-Wahadni, menawarkan tempat dalam pengajian tahfiz dan qiraat serta kejuruteraan kepada pelajar Selangor.

“Jadi, semua potensi ini perlu dilihat secara teliti oleh Kerajaan Negeri supaya kita boleh melebarkan penghantaran pelajar Selangor ke Timur Tengah yang tidak hanya terhad kepada beberapa universiti sedia ada seperti Al-Azhar dengan adanya pusat pengajian baru.

“Selain itu, kerjasama dengan pusat pengajian baru nanti mungkin menawarkan peluang pembelajaran lebih menarik dan baik, pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kunjungan hormat ke Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) dan Pelancaran Projek Naik Taraf Kafeteria Asrama Selangor kepada Pusat Aktiviti Pelajar Selangor, di sini, semalam.

Turut hadir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor; Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar, Soffan Affendi Aminudin; Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Agama Islam Selangor, Azlinda Azman; Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor, Zahura Zakry dan Atase Pendidikan (Selangor), Mohd Yasser Abdul Ghani.

Terdahulu, Amirudin dalam lawatan kerjanya selama seminggu ke Timur Tengah turut ke Maghribi juga Jordan bagi bertemu pelajar Selangor di negara berkenaan sebelum mengadakan pertemuan dengan kelompok sama, di Kaherah.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, pihaknya akan meneliti dan berbincang bersama agensi yang terbabit dengan pendidikan bagi mengadakan persidangan meja bulat khas begi membincangkan skop pengajian lebih meluas bagi pelajar Selangor, di Timur Tengah.

Pada lawatan kerja dua hari ke Jordan, Amirudin turut mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke Jordan, Tuan Yang Terutama, Datuk Jilid Kuminding selain mengadakan sesi dialog bersama pelajar Selangor, di negara itu.

Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Semesta Sdn Bhd turut menyumbang RM50,000 kepada Pejabat Atase Pendidikan (Selangor) Jordan untuk aktiviti sosial dan kemasyarakatan pelajar.


Pengarang :