NASIONAL

JPN gesa lebih 3 juta individu tukar MyKad baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 19 OKT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggesa 3,247,589 pemegang MyKad supaya menukar kad baharu, menerusi kempen Tukar Mykad Struktur Baharu yang dijalankan, bermula hari ini.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Mohamad Razin Abdullah berkata, seramai 81,250 individu memegang kad Pengenalan Bermutu Tinggi, manakala 13,525 masih memegang Kad Pengenalan Pertama.

“Jumlah pemegang MyKad setakat 30 Jun lalu adalah 22,664,773 tetapi terdapat 19,322,409 masih belum menukar kepada kad pengenalan versi baharu.

“Oleh itu, saya menyeru supaya mana-mana individu yang belum menukar MyKad dapat menukarnya segera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai perlu menukar kepada MyKad Struktur Baharu kerana ia memiliki banyak kelebihan berasaskan ciri keselamatan yang ditambah baik dengan teknologi terkini.

“Malah ia diperkukuhkan daya lekatan dan kualiti kad antara lapisan asas cetakan dengan reka bentuk ditambah baik,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung kempen Tukar Mykad Struktur Baharu, boleh berbuat demikian dengan mengunjungi JPN berdekatan atau melayari laman sosial JPN, Jabatan Pendaftaran Negara (Facebook), @jpn_official (Instagram), @jpnm_official (Twitter) dan Jpnofficial (YouTube).

Mereka juga boleh menghubungi di talian 03-88807077 untuk maklumat lanjut.


Pengarang :