NASIONAL

Jual Menara Felcra selamat aliran tunai

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Penjualan Menara Felcra bukan bertujuan meraih simpati, sebaliknya untuk menyelamatkan aliran tunai syarikat yang kini terbeban dengan masalah kewangan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, strategi itu dijangka mampu memberi keuntungan kepada Felcra kerana nilai hartanah kawasan terbabit berjumlah RM115 juta.

“Ini adalah strategi kerajaan untuk selamatkan Felda, Felcra dan beberapa agensi lain. Kita tidak jual semua aset Felcra, namun menara di Jalan Semarak sahaja dijual kerana mengalami kelewatan.

“Projek ini tetap diteruskan walaupun mengalami kelewatan selama 96 hari sehingga 30 September lalu, namun usaha sedang diteruskan pengurusan Felcra yang baru demi menyelamatkan aliran tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Ahli Parlimen Kuala Krau Pendang, Awang Hashim berkenaan rasional serta kesan jangka panjang penjualan Menara Felcra yang sudah 50 peratus siap pembinaannya.

Pada masa sama, katanya, penjualan menara terbabit tidak akan menjejaskan 96,137 pesertanya daripada seluruh negeri, termasuk Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkata, projek Menara Felra di Jalan Semarak itu adalah projek hartanah bercampur milik Felcra Berhad seluas 4.02 ekar.

Katanya, projek itu terdiri daripada 35 tingkat menara pejabat, blok pangsapuri servis 43 tingkat dengan 480 unit dan enam tingkat pusat perdagangan (termasuk dua tingkat pusat konvensyen) dengan anggaran nilai kasar pembangunan sekurang-kurangnya RM1.1 billion.

Terdahulu, sebuah media melaporkan Felcra mengumumkan mahu menjual menaranya, di Jalan Semarak yang sedang dalam pembinaan bagi mengelak implikasi terhadap kewangan syarikat itu.


Pengarang :