GLOBAL

Jurang antara kaya, miskin di India, Singapura meningkat

LONDON 10 OKT: Nigeria, Singapura dan India merupakan antara negara yang meningkat dari segi jurang antara golongan kaya dan miskin, menurut laporan agensi kebajikan Oxfam ketika melancarkan indeks menonjolkan negara-negara paling kurang merapatkan jurang berkenaan.

Korea Selatan, Georgia dan Indonesia pula antara negara yang dipuji kerana cuba mengurangkan ketidaksamaan, melalui dasar-dasar pembangunan sosial, cukai dan hak-hak buruh.

Menurut Oxfam, ketidaksamaan telah mencapai tahap krisis, dengan satu peratus orang terkaya daripada populasi glo­bal merangkumi empat perlima hasil kekayaan pada pertengahan 2016 dan 2017, sementara separuh daripada golongan miskin dunia tidak menunjukkan peningkatan dalam kekayaan.

Indeks 157 negara itu dikeluar­kan selepas menteri-menteri kewangan dan ketua-ketua bank pusat berhimpun di Bali sempena mesyuarat tahunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini.

Oxfam menambah, Nigeria dengan 10 peratus kanak-kanak menemukan ajal sebelum mencapai usia lima tahun, berada di kedudukan terbawah kerana perbelanjaan sosial yang ‘rendah’, pungutan cukai yang terburuk dan pelanggaran hak buruh semakin meningkat.

Oxfom menerangkan, bagi menangani krisis ketidaksamaan bukan bergantung pada kekayaan negara, tetapi berdasarkan kekuatan politik.

Sementara itu Singapura, salah satu daripada negara terkaya di dunia, berada di kedudukan bawah 10 kerana amalan mengelak cukai termasuk kegagalan mengangkat hak-hak buruh.

Korea Selatan yang berada pada kedudukan 56 dalam senarai itu, dipuji kerana membantah upah minimumnya seba­nyak 16.4 peratus tahun lepas, dan Georgia (kedudukan 49) kerana meningkatkan perbelanjaan pendidikan sebanyak hampir enam peratus, lebih banyak daripada negara lain.

Dalam pada itu, China di kedudukan 81 mendahului India (kedudukan 147), menumpukan lebih daripada dua kali ganda bajetnya kepada kesihatan dan hampir empat kali lebih banyak untuk perbelanjaan kebajikan, kata agensi itu.

SUMBER: REUTERS

 


Pengarang :