SELANGOR

Karnival Kebudayaan & Kesenian Orang Asli tampil elemen pelbagai kaum

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUCHONG, 20 OKT: Persembahan kebudayaaan daripada pelbagai kaum yang dipertontonkan melalui Karnival Kebudayaan dan Kesenian Orang Asli 2018, antara elemen diketengahkan sepanjang berlangsungnya karnival itu di Padang Perkampungan Orang Asli Sungai Rasau Hilir, Batu 14, di sini, hari ini.

Menerusi acara kali ketiga tahun 2018 anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), ia menampilkan pelbagai acara menarik seperti pameran, persembahan dan demonstrasi masakan daripada masyarakat orang Asal serta agensi kerajaan, pertandingan menyumpit, pertandingan panjat tiang licin dan pertandingan pakaian beragam tradisional orang Asal.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, sedikit penambahbaikan yang dibawakan pihaknya melalui pembabitan Jawatankuasa Penduduk (JKP) zon 17, selain kepelbagaian budaya kaum terdapat di Malaysia iaitu Cina, India dan Sikh.

Katanya, ia sebagai langkah mendekatkan masyarakat orang Asal bersama komuniti setempat.

“Karnival ini dapat mengumpul dan mengeratkan tali persaudaraan suku-suku kaum orang Asal di Selangor yang terdiri daripada suku kaum Temuan serta Mahmeri juga masyarakat setempat.

“Malah, kebudayaan dan kesenian orang Asal dapat diperkenalkan kepada orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya dalam ucapan di majlis perasmian karnival itu, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berserta dengan gimik menyumpit belon dan persembahan tarian ‘Sewang’ suku kaum Mahmeri.

Selaras hala tuju melahirkan komuniti madani bertepatan pelan strategik MPSJ, Noraini berkata, karnival terbabit sedikit sebanyak membantu mengurangkan masalah sosial masyarakat setempat.

Katanya, pendedahan sebenar mengenai kehidupan orang Asal turut dapat disampaikan secara terus kepada umum.

“Aktiviti yang disediakan secara tidak langsung boleh mencungkil dan menyerlahkan bakat semulajadi di kalangan masyarakat orang Asal dalam bidang kebudayaan, kesenian serta sukan.

“Kepelbagaian pameran kesenian kraftangan tradisional orang Asal turut dapat menambah pendapatan ekonomi mereka dengan cara mempromosikan hasil kraftangan, makanan tradisi termasuk hasil hutan seperti madu, akar kayu dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, karnival berkenaan direalisasikan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Persekutuan dan Selangor, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pelaksanaan acara turut diperhebatkan melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT), Tourism Malaysia dan Tourism Selangor selain menyaksikan sokongan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) serta MIMBAR.


Pengarang :