SELANGOR

Kebajikan Orang Asal terus dapat pembelaan

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK,27 OKT: Kebajikan masyarakat Orang Asal di Selangor akan terus terbela terutama berkenaan pewartaan tanah bagi urusan penempatan mereka.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, sejak dulu lagi Kerajaan Negeri komited berkenaan kebajikan masyarakat Orang Asal.

“Kerajaan Negeri memahami situasi dihadapi masyarakat ini yang terpaksa berpindah kerana banyak tempat mereka dibuat pembangunan.

“Namun, Kerajaan Negeri sedang usaha mengenal pasti lagi beberapa tanah milik kerajaan untuk dijadikan penempatan masyarakat ini. Sekiranya tanah itu milik swasta , ia agak sukar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Tapak ke Kampung Orang Asal Sungai Relang, Hulu Gombak, di sini, semalam.

Katanya, Selangor antara negeri terawal melaksanakan pewartaan tanah masyarakat Orang Asal berbanding negeri lain.

Terdahulu, Loy Sian turut melawat ke tapak projek perintis pemasangan sistem solar di kampung berkenaan.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM342,000 bagi melaksanakan projek perintis itu, bertujuan membekalkan elektrik kepada perkampungan terbabit.

Projek perintis pemasangan sistem solar dengan kapasiti 1.2kWp di setiap 12 rumah di situ sudah bermula sejak Oktober lalu, dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung Disember tahun ini.


Pengarang :